Kita tahu bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki
hati-hati yang gelap, tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum
arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha.
Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan
jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi
bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga
tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang
yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan umat ISLAM tertindas dalam
kehidupan sempit lagi derita.
Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini,
yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?
Maka saya hendak bertanya kepada anda.
Adakah anda tahu apa itu istidraj?
Istidraj ini adalah satu kalimah, yang
sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan
kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH
yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini
dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakah maksud istidraj?
Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta
kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dari-Nya.
Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka
yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha
mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Kita
lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah
seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci
kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang
yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.
Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah
ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya
makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak
digunakan.
Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua
kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua ini adalah hasil dari
ilmuku”
Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak,
semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH,
walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban
waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin
dan hamba.
Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya
ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat
di dalam Al-Quran.
Nah… Apakah itu yang kita mahu?
Sebab itulah, saya hendak mengajak
saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila
kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian
berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul
dalam jiwa kalian?
Saya yakin, 99% akan merasa begini, “
Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda
ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.
Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan
keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan.
Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah
badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.
Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman.
Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.
Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan
seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah
berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila
jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang
muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.
“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang
menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang
menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,
“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti
NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan
kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga,
maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”
Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam
peperiksaan walau sudah studi, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun
strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji
hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,
“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata
kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”
Jika gagal terhadap satu-satu perkara,
itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha,
selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna
kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.
Maka sebenarnya, bila hidup kita
digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih
lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada
kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di
dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?
Saya yakin tidak..
Anda tenang sekarang?
Anda wajib untuk tidak berasa tenang
jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu
penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH
SWT.
Aku berdosa, tetapi aku berjaya….
Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang
membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.
Mari kita
sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.
No comments:
Post a Comment